Bahasa Melayu dan Jati Diri 'Nation' Malaysia
SEMINAR ANTARABANGSA LINGUISTIK DAN PEMBUDAYAAN BAHASA MELAYU KE-5 (2009)
Profesor Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI akan menyampaikan ucaptama bertajuk "Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam Pembinaan Sahsiah dan Jati Diri Negara Bangsa" di Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 17 November 2009, pukul 11.00 pagi berkata:
Walaupun bahasa Melayu itu memisahkan, kita perlu meneruskan rancangan membina identiti nasion Malaysia kita.
Ini tidak semestinya melalui Sekolah Satu Aliran. Sudah banyak sistem sekolah yang diajukan seperti sekolah bestari, sekolah kluster, dan sekarang sekolah satu aliran. Namun ini hanyalah gagasan yang belum teruji. Semua gagasan seperti ini janganlah diberi taraf seperti ia sebuah dasar yang pasti akan berjaya. Pada tahap konsepsualisasinya pun ternyata menimbulkan banyak keraguan dan bantahan.
Oleh sebab itu, ada beberapa langkah yang dapat kita laksanakan dengan serta merta dan tidak akan menimbulkan kecurigaan.
1. Pertama, yang maha penting, hendaklah dikenakan suatu moretorium, iaitu penangguhan secara rasmi, terhadap Dasar Pendidikan Negara. Jangan dibolehkan sesiapapun merobah dan meminda Dasar Pendidikan sebelum 2003.
2. Perkasakan sekolah KEBANGSAAN yang ada. Gunakan sekolah Kebangsaan sebagai asas Sekolah yang menarik semua kaum menghantar anak-anak belajar. Jangan dibina sekolah lain. Gunakan segala dana yang digunakan membiayai "cadangan-cadangan" baru yang belum teruji ini bagi memperlengkap prasanara, mempertingkat ilmu dan ketrambilan gurunya. Biar sekolah KEBANGSAAN menjadi tumpuan dan keinginan semua warga Malaysia. Biar sekolah KEBANGSAAN menjadi rebutan.
3. Perkasakan BAHASA KEBANGSAAN kita (sila rujuk kepada Perlembagaan Malaysia untuk mengetahui istilah rasminya). Bagi memperkasakan BAHASA KEBANGSAAN ini, bukanlah bermakna ejaan dan nahu yang perlu dipantau oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan mendenda sesiapa yang membuat kesalahan. Tetapi perbanyakkan pengisian dalam Bahasa Kebangsaan. Satu daripada bukti bahasa itu maju adalah ia mengandungi maklumat selengkapnya untuk warganegaranya. Bukan sebanyak mana istilah, tetapi sebanyak mana buku ilmu ang dihasilkan. Lembaga Kemajuan Buku Negara hendaklah melaksanakan dasarnya dengan rapi. Kerajaan mesti mengadakan DANA dan menyokong industri perbukuan negara, termasukah terjemahan. Inilah satu-satunya industri yang tidak difahami oleh Kerajaan, lalu tidak dibantu. Pada hal industri buku bagi memandaikan warga negara mestilah wujud.
4. Dewan Bahasa dan Pustaka mesti memikul bebannya bagi membina pustaka dalam Bahasa Kebangsaan, bukan sekadar berpuas hati dengan sejuta istilah. Yang dimaksudkan adalah buku am, manakala buku adademik hendaklah diserahkanlah kepada penerbit masing-masing universiti. Dasar Kerajaan dalam hal ini juga mestilah membantu pihak swasta berkembang bagi membantu Dewan Bahasa dan Pustaka.
5. Dasar dan pelaksanaan internet kita mesti membantu memperkasakan Bahasa Kebangsaan kita. Umpamanya, sepuluh tahun lalu, dalam sebuah laporan terhad yang saya dapati, negera kita menggunakan sekitar RM 29 juta (USD?) setahun membayar sewa kabel dasar laut bagi mendapatkan maklumat dalam bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat. Tetapi, negara Korea membelanjakan dana yang sebayak itu juga bagi membina perisian maklumat dalam bahasa Korea.
6. ITNM juga harus dapat membantu menggalakkan industri terjemahan, membawa masuk maklumat. Aktiviti menterjemah buku ke dalam bahasa asing supaya Malaysia menjadi internasional perlu diberi keutamaan yang kedua. Persatuan Penterjemah Malaysia akan membantu melatih para penterjemahnya.
7. UNESCO memberi sebuah panduan yang mudah. Bilangan judul buku yang perlu dihasilkan oleh sebuah negara yang mahu menjadi maju adalah supaya menerbitkan 1% judul buku setiap tahun berbanding dengan jumlah peduduknya. Taiwan, sebuah negara kecil yang maju, mempunyai penduduk seramai 25 juta, dan sudah menerbitkan 34,000 judul buku setahun, iaitu lebih daripada 1% penduduknya. Ternyata Taiwan sudah dapat menghasilkan warganegara yang berpendidikan. Pada tahun lalu Maysia menerbitkan sekitar 8,000 judul buku sahaja, dan inipun mengambil kira segalam macam penerbitan.
8. Ajarkan bahasa Inggeris. Pastikan ini berlaku dengan baik dan berkesan di semua Sekolah Kebangsaan.
9. Ajarkan bahasa Cina secara opsyen di Sekolah Kebangsaan supaya dapat diambil oleh pelajar kaum Cina dan sebagai pilihan oleh kaum lain. Pada masa ini, Kementerian Pelajaran Malaysia melaporkan, ada 60,000 anak Melayu belajar di sekolah Cina. (Malah Menteri Besar Perlis juga menghantar semua anaknya ke sekolah Cina.) Ini tidak harus berlaku. Sekiranya ada ibu bapa yang mahu anaknya belajar bahasa Cina, maka opsyen itu mesti ada di Sekolah Kebangsaan. Malah, galakkan guru Melayu menguasai bahasa Cina dan mengajarkan bahasa Cina di Sekolah Kebangsaan sebagai bukan bahasa ibunda.
10. Gunakan bahasa Melayu Tinggi. Bahasa rendah itu adalah yang dikatakan oleh Basil Bernstein bahasa yang akan mengakibatkan defisit sosial. Oleh sebab itu kita mestilah mendisiplinkan diri dan mempunyai ’kesombongan berbahasa’ dengan mengutamakan Bahasa Kebangsaan dalam konteks rasmi, dan kedua menggunakan Bahasa Kebangsaan yang dengan baik dan betul. Para pemimpin dan ketua-ketua jabatan Kerajaan sering hilang kesombongan bahasanya, dan menggunakan bahasa Inggeris (yang ada kalanya juga memalukan) dalam mejlis rasmi tanpa keperluan. Disiplinkan diri dan gunakan Bahasa Melayu Tinggi, iaitu Bahasa Sekolah atau Bahasa Persuratan. Kita tidak mungkin memindahkan maklumat dengan baik apabila menggunakan bahasa rendah
No comments:
Post a Comment